Search This Blog

Monday 28 March 2011

Disakarida dan Polisakarida

Klik pautan untuk muat turun nota kuliah 
(Click link to download the lecture notes)
****************************************
(versi Bahasa Melayu)

Pengenalan

Setelah dibincangkan tentang gula ringkas dalam catatan lepas, kini tiba giliran membincangkan gula disakarida dan polisakarida pula. Gula disakarida banyak dijumpai dalam sekitaran kita, malah cukup rapat dengan kegunaan harian kita seperti maltosa (dalam madu dan buah-buahan), laktosa (dalam produk tenusu) dan sukrosa (gula tebu). Keperluan ini juga penting sebagai sumber tenaga segera sepertimana pentingnya gula ringkas. Polisakarida pula rantai panjang unit gula yang kebanyakannya terbentuk daripada lebihan gula ringkas dan disakarida dalam manusia, haiwan dan tumbuhan. Catatan kali ini membincangkan tentang jenis ikatan gula di- dan polisakarida.



Disakarida


Gula disakarida terdiri daripada hanya dua unit gula ringkas, dan penamaannya banyak merujuk kepada ikatan glikosidik serta kumpulan asetal yang menghubung antara keduanya.

Gula disakarida boleh didefinisikan sebagai gabungan dua gula ringkas (monosakarida) yang dihubungkan oleh ikatan asetal di antara kumpulan hemiasetal satu gula ringkas dengan kumpulan alkohol daripada gula ringkas yang lagi satu. Ikatan asetal dipanggil ikatan α-1,4'-glikosidik atau β-1,4'-glikosidik jika dua gula ringkas ini dihubung di antara C-1 suatu gula ringkas dengan C-4 gula yang lain. α- dan β- pula merujuk kepada posisi O pada ikatan glikosidik yang terikat kepada karbon anomerik. Tanda "prime" pula merujuk kepada C-4 adalah bukan daripada gelang yang sama.

Maltosa dan Selobiosa

Kedua-dua disakarida ini mempunyai persamaan iaitu; unit gula yang terkandung adalah D-glukosa dan mereka wujud dalam bentuk α- dan β- pada kumpulan hemiasetal. Perbezaan mereka pula adalah pada ikatan asetal; maltosa mempunyai α-1,4'-glikosidik dan selobiosa mempunyai β-1,4'-glikosidik.

Laktosa

Ia merupakan salah satu contoh gula disakarida yang mempunyai dua unit gula ringkas yang berbeza iaitu D-galaktosa dan D-glukosa. Ikatan asetal adalah β-1,4'-glikosidik dan kumpulan hemiasetal terletak pada unit glukosa.

Polisakarida

Struktur polimer ini merupakan gabungan unit gula ringkas sekurang-kurangnya 10 unit dan ia boleh mencapai beberapa ribu unit gula ringkas. Contoh paling mudah adalah kanji (dalam tumbuhan berubi dan buah-buahan), glikogen (dalam haiwan) dan kitin (pada permukaan cengkerang haiwan).

Ikatan asetal masih penting dalam hubungan unit-unit gula ringkas. Ikatan α-1,4'-glikosidik atau β-1,4'-glikosidik menghasilkan polisakarida yang tidak bercabang. Contohnya, amilosa dan selulosa. Wujudnya ikatan asetal lain seperti 1,6'-glikosidik dan 1,3'-glikosidik bersama-sama ikatan 1,4'-glikosidik, polisakarida yang bercabang boleh perolehi. Contohnya amilopektin dan glikogen.

Penutup

Dengan melihat semula konfigurasi gula ringkas yang banyak dan menghubungkaitkan dengan keupayaan gula tersebut membentuk ikatan-ikatan glikosidik, kita boleh membayangkan berbagai jenis disakarida dan polisakarida yang mungkin wujud dalam alam sekeliling kita. Mungkin kehadirannya kurang disedari, tetapi potensi untuk menemuinya daripada berbagai spesis flora dan fauna sukar untuk disangkal.

No comments:

Post a Comment