Search This Blog

Saturday 11 May 2013

Muslihat Menulis Literature Review: Urus Bahan Rujukan

Pengenalan - Wujudnya Rintangan

Lebih dua minggu tugasan menulis literature review telah diberikan kepada beberapa calon pasca-siswazah saya, tetapi hasilnya kurang memuaskan. Apabila diselidiki mengapa terjadi sedemikian, didapati antara puncanya adalah: 

  • tidak tahu fakta penting yang harus dipetik daripada sesuatu rujukan
  • masalah penguasaan bahasa saintifik dan English untuk memahami kandungan rujukan
  • masalah memilih rujukan yang sesuai
  • kurang atau tidak memahami objektif penyelidikan dan 
  • kelemahan membina ayat saintifik yang sempurna
Kebanyakan calon pascasiswazah yang baru berjinak-jinak dengan dunia penyelidikan sering tertanya-tanya bagaimana hendak menulis kertas cadangan penyelidikan (research proposal). Malah ada juga kurang minat dan lemah kemahiran membaca bahan rujukan mereka! Dalam posting kali ini, beberapa tips dan langkah yang mungkin boleh membantu menyempurnakan literature review terutamanya untuk penulisan saintifik.

Apakah itu Literature Review?

Sebelum topik utama dibincangkan, kita mesti faham apa maksud literature review - atau ulasan kesusasteraan dalam bahasa melayu. Maksud mudahnya adalah menulis suatu karangan berbentuk ulasan. Cuba kita imbas kembali subjek Bahasa Melayu semasa zaman pesekolahan dulu...! Cikgu BM mungkin telah memberikan kita bahan bacaan sama ada dalam bentuk buku cerita, makalah, cerpen atau sebagainya untuk dibaca. Seterusnya kita diarah membuat sinopsis atau ulasan dalam 5 hingga 10 baris ayat. Itulah asasnya menulis ulasan dan ringkasan dimana ia berkisar kepada kemahiran membaca, pemahaman dan menulis sesuatu karangan pendek, berdasarkan hasil pembacaan kita. 

Bezanya apabila membuat literature review untuk memulakan penyelidikan, karangan adalah lebih berbentuk ilmiah (dan saintifik) serta banyak menggunakan istilah yang baru bagi kita. Ia bergantung kepada fakta dan hasil penemuaan yang telah direkodkan secara bertali arus. Dalam usaha penyelidikan saintifik, ia merupakan salah satu langkah utama dan penting sebelum memulakan sesuatu projek dengan tujuan antaranya:
  • memahami bidang kajian dengan jauh lebih mendalam berbanding apa yang telah diajar semasa di peringkat ijazah pertama
  • meneliti perkembangan terkini penemuan dalam bidang yang ingin dipelopori yang boleh menyumbang kepada perkembangan projek
  • mencari jawapan terhadap persoalan dan permasalahan yang dibangkitkan berkaitan tajuk penyelidikan
  • mencari kaedah atau metodologi terkini atau sesuai untuk membantu menyelesaikan masalah
  • mengesahkan hipotesis yang dicadangkan masih tidak atau belum sepenuhnya dipelopori, dipelajari, dikaji dan dilaporkan.
Selain daripada kecekapan bahasa dalam menulis literature review, langkah pengurusan rujukan juga tidak kurang penting. Kerana ia boleh membantu pembentukan suatu karangan yang lebih konstruktif, kukuh dengan hujah dan jaringan maklumat. Seterusnya, kita akan bincangkan langkah-langkah pengurusan tersebut.

Mengurus Bahan Rujukan

Pengurusan bahan rujukan bukanlah suatu bahagian yang sukar. Cumanya ia memerlukan sedikit komitmen dan kreativiti untuk menyusun hasil pencarian bahan rujukan setelah membaca isi kandungannya. Senarai berikut merupakan langkah dan tips yang mungkin diperlukan apabila hendak mencari bahan rujukan, mentelaah, menyusun, memilih dan akhirnya mengulas hasil pembacaan. 
  • Soal diri sendiri
  • Carian maklumat
  • Baca dan highlight
  • Nilai semula carian
  • Kelaskan bahan rujukan
  • Lukiskan jaringan antara kata kunci
  • Mulakan penulisan

Soal diri sendiri


Apakah yang perlu disoalkan? Ada masanya dalam bidang sains, persoalan atau hipotesis disediakan oleh bakal penyelia. Dengan demikian ianya lebih mudah. Sebaik sahaja memperolehi persoalan atau hipotesis tersebut, tuliskan soalan atau hipotesis tersebut dengan jelas. Senaraikan dan tuliskan katakunci yang berkaitan. Paling mudah adalah bermula dengan merungkai perkataan di dalam soalan dan mengikut subjek yang hendak dikaji. Catitkan kata-kata kunci meliputi subjek kajian, bahan, kaedah, pencirian, sifat, tinjauan dan sebagainya berdasarkan soalan atau hipotesis yang telah ditulis awal tadi. Sebagai contoh: (gambar di sini)

Tip #1: Biasanya suatu kata kunci boleh dikembangkan dalam bentuk frasa dan hasil pencarian mungkin lebih menjurus kepada hasil yang dikehendaki.


Tip #2: Jika menggunakan frasa dan carian di Google Scholar, parentesis atau tandaan ( " ) akan membantu supaya carian lebih menjurus dan frasa tidak bercerai kepada beberapa perkataan. Contohnya: frasa dunia sains dan teknologi ditaip sebagai "dunia sains dan teknologi".


Carian maklumat

Langkah seterusnya adalah kerja pencarian rujukan menggunakan kata kunci yang kita telah senaraikan tadi. Kini dalam arus media elektronik, kerja pencarian begitu luas dan sungguh mudah dengan dibantu oleh banyak sistem pencarian seperti google scholar, sciencedirect, scifinder dan sebagainya. Tambahan pula, bahan rujukan khususnya artikel banyak di dalam bentuk fail PDF yang boleh dimuat turun secara percuma mahupun langganan. Kita juga boleh mengecilkan pencarian rujukan tersebut di laman web penerbit dengan skop jurnal yang relevan dengan bidang kajian kita. Contoh berikut adalah carian menggunakan Google Scholar: (gambar di sini) 

Tips #1: Ada masanya capaian carian secara elektronik gagal. Carian manual memerlukan sedikit usaha kita mencarinya di perpustakaan, pusat sumber dan seumpamanya. Berkomunikasi dengan penulis utama (main author) suatu artikel juga mungkin membuahkan hasil.



Tip #2: Namakan semula fail yang telah dimuat turun dengan nama yang mudah untuk dicari semula. Antara saranan nama fail adalah meletakkan nama penulis utama, nama jurnal, tahun diterbitkan dan kata kunci. Ianya terpulang kepada kreativiti dan cara yang difikirkan sesuai.

Baca dan 'highlight'

Bahagian ini antara rintangan yang besar terutamanya jika mempunyai masalah penguasaan bahasa. Usah bimbang dengan keadaan ini kerana ia boleh diatasi dengan ketekunan dan konsisten yang tinggi. Kita mungkin akan mudah berasa bosan apabila membaca kandungan yang tidak difahami dan tidak diminati. Jika ianya berkait dengan masalah pemahaman, mungkin masih boleh "diselamatkan" dengan kesungguhan, usaha dan imaginasi. Tetapi jika tidak berminat untuk membaca bahan yang telah dicari, seharusnya diteliti semula matlamat dan bidang yang hendak diceburi dengan bertanya dan berbincang dengan penyelia.



Tujuan pembacaan adalah untuk mengetahui sama ada bahan rujukan itu relevan atau tidak dengan tajuk dan hipotesis. Katakunci yang dijumpai di dalam artikel boleh dijadikan panduan umum. Tidak dinafikan untuk membaca keseluruhan artikel-artikel yang bertimbun akan lebih menyukarkan. Antara bahagian penting artikel yang memudahkan dan mempercepatkan proses pengasingan (sorting) adalah membaca tajuk, abstrak, objektif dan kesimpulan. Jika menemui sesuatu yang menarik, tentunya kita akan meneruskan pembacaan dengan menyeluruh termasuk metodologi, keputusan dan perbincangan.



Gunakan daya kreativiti untuk menyorot (highlight) fakta, katakunci, frasa dan ayat yang relevan yang boleh menginspirasikan penulisan. Catatkan tajuk, penulis, poin atau frasa yang penting untuk rujukan semasa penulisan literature review nanti. Kaedah lukisan, diagram, persamaan dan sebagainya boleh juga dicatat semula dan sangat membantu dalam pemahaman dan membina ayat. Kaedah catatan secara lukisan dan diagram mampu mencetuskan imaginasi dan hubungkait di antara fakta dari bahan rujukan dengan hipotesis. 

Tip #1: Gunakan pena berwarna (highlight pen) dan buku catatan yang khusus untuk tujuan ini. Jika membaca pada fail PDF paparan skrin komputer, gunakan tools yang boleh mambuat markup dan nota.

Tip #2: Oleh kerana diperingkat awal tahap pengetahuan asas masih rendah, mengulangkaji buku teks dan buku rujukan dengan topik yang berkaitan boleh membantu meningkatkan pemahaman asas. Terdapat juga laman web yang boleh dijadikan panduan asas tetapi bukan sebagai bahan rujukan. Wikipedia umpamanya boleh memberikan gambaran umum sesuatu subjek kajian.


Tips #3: Kamus dwi-bahasa dan kamus teknikal, kedua-duanya merupakan teman baik sepanjang pembacaan bahan rujukan. Kita akan lebih faham isi kandungan dan motif bahan rujukan apabila istilah-istilah yang baru bagi kita difahami dengan baik.


Menilai semula carian


Dengan keterujaan mencari bahan rujukan akan menghasilkan koleksi artikel yang besar. Hampir pasti terdapat juga artikel yang tidak atau kurang relevan. Ia memaksa kita mengasingkannya terus daripada senarai bahan rujukan yang sesuai. Proses menilai semula carian bermaksud menilai semula kata-kata kunci yang telah digunakan untuk carian dan melakukan semula carian menggunakan kata-kata kunci yang berbeza. 

Hasil pembacaan daripada bahan rujukan selalunya akan memberikan peluang untuk menemui istilah-istilah dan frasa-frasa baru bagi kita dan usah lupa untuk mencatatkannya. Istilah dan frasa baru mungkin berguna untuk mengulang semula proses pencarian. Ia juga secara tidak langsung akan meningkatkan kemahiran menggunakan bahasa dan juga membina ayat-ayat yang lebih sempurna. 

Penilaian semula carian boleh dilanjutkan kepada persoalan sama ada fakta yang dijumpai dapat membantu mengesahkan hipotesis. Jika jawapannya adalah YA, bagaimanakah fakta dan maklumat itu boleh membantu kita menjawab atau mengesahkan hipotesis? Jika TIDAK, kenapa ia kurang berkaitan dengan projek? Catatkan pendapat-pendapat ini kerana mungkin boleh digunakan semasa penulisan literature review.

Tip #1:  Carian menggunakan kata kunci dan istilah yang baru mampu melebarkan skop carian. Lagi banyak senarai kata kunci akan meningkatkan peluang menemui bahan rujukan yang relevan.

Mengkelaskan bahan rujukan


Mengkelasan bahan rujukan adalah umpama aktiviti memfail dokumen. Bahagian ini bergantung kepada cara individu kerana masing-masing mempunyai keselesaan dalam menguruskan bahan rujukan mereka. Urutan kata kunci, jenis, bidang, penulis atau lain-lain kategori boleh digunakan. Bagaimanapun asas utama adalah proses membahagi bahan-bahan rujukan supaya mudah dicari dan ditatap semula. 

Kini terdapat perisian yang dapat membantu membina pengkalan data umpamanya EndNote. Ia bukan sahaja sangat membantu dalam penulisan kertas cadangan, malah untuk penulisan tesis, laporan, kertas penerbitan dan sebagainya. Tetapi harus waspada kerana mungkin terdapat isu tidak sepadan (incompatibility) di antara perisian dan versi lain.  

Tip #1: Bina pengkalan data dan gunakan folder dalam bentuk elektronik dan mudah alih akan membantu kita mengakses bahan rujukan di mana-mana komputer. Kemudahan menyimpan dokumen di alam maya juga membantu serti iCloud dan DropBox, dengan syarat terdapat kemudahan internet.

Lukiskan jaringan kata kunci


Sebelum kita memulakan penulisan literature review, salah satu kaedah yang dapat mengisprirasi, memandu dan memotivasikan proses penulisan adalah lakaran jaringan kata-kata kunci. Jika tidak dilukis dan dihubungkan, kemungkinan besar haluan penulisan akan berkecamuk dan tiada aliran cerita yang baik. 

Selain itu, kaedah menyenarai kata kunci penting mengikut urutan keutamaan juga boleh digunakan. Ia bergantung kepada tahap kemahiran dan keselesaan masing-masing. Yang pasti, tujuannya adalah untuk memastikan fakta dan maklumat disusun berkisar kepada sesuatu topik perbincangan. Hasilnya ia tidak bercampur-aduk dengan fakta dan maklumat daripada topik perbincangan yang lain.

Tip #1: Gunakan kreativiti seperti warna-warni dan bentuk berbeza untuk menjelaskan lagi perbezaan sesuatu fakta dan maklumat.

Tip #2: Ada juga bahan rujukan yang memberikan fakta dan maklumat untuk lebih daripada satu topik perbincangan. Buatkan jaringan tambahan atau kaedah lain yang sesuai untuk menunjukkan hubungan sedemikian.

Mulakan penulisan


Sekarang kesemua fakta dan maklumat telah pun dibaca, dikelaskan, disusun dan dihubungkaitkan. Perhatikan jaringan atau senarai yang telah kita bina. Mulakan penulisan dengan fakta dan maklumat yang telah kita catat dan highlight. Sekiranya terdapat kekeliruan, terlupa fakta dan maklumat atau ketidakpastian, dengan mudah kita boleh merujuk semula bahan rujukan seperti yang telah dikelaskan dan dicatit sebelum ini. 

Gunakan juga lakaran lukisan dan diagram yang telah dicatat sebelum ini sebagai panduan untuk penulisan. Ulang baca bahan rujukan termasuk buku-buku teks yang terlibat untuk meningkatkan pemahaman. Teruskan proses menulis sebaik sahaja fakta dan maklumat difahami. Luahkan pemahaman kita berkenaan fakta dan maklumat yang dibaca dalam ayat sendiri. Frasa-frasa pendek dan istilah-istilah yang berkaitan boleh digunakan semula sebagai panduan untuk membina ayat saintifik yang lebih sempurna. Akhir sekali, betulkan tatabahasa setelah berpuas hati dengan kandungan fakta dan maklumat yang telah ditulis atau ditaip.

Tip #1: Gunakan khidmat seseorang yang mahir dalam bahasa Inggeris untuk melakukan proof reading. Setelah itu, wajib baca semula ayat demi ayat yang telah dibetulkan, dikhuatiri terdapat penukaran istilah dan frasa yang menyebabkan kesalahan fakta dan maaklumat.

Tip #2: Peruntukkan masa yang secukupnya untuk proses penulisan. Jika perlu tinggalkan dahulu kerja-kerja lain dan berikan tumpuan sepenuhnya penulisan sehingga selesai. Idea dan ilham mungkin datang sesekali, sambar peluang sebegini apabila ia datang.

Jangan Tangguh, Ayuh Kita Mulakan...!!!

Dalam semua langkah-langkah yang dibincangkan di atas, membaca dan memahami isi kandung merupakan langkah paling penting. Tanpa meningkatkan pembacaan, langkah-langkah lain tidak bermakna sama sekali. Benarlah seperti sirah nabi di mana surah pertama diturunkan adalah surah al-Alaq yang menyuruh kita membaca dan ini menunjukkan betapa pentingnya membaca.

Langkah-langkah yang disarankan di atas bukanlah kaedah terbaik tetapi diharapkan coretan berdasarkan pengalaman yang sedikit ini dapat membantu calon pascasiswazah khususnya dalam bidang sains dan teknologi dalam memulakan episod baru dunia penyelidikan dan penulisan saintifik. Atas keupayaan dan kecekapan masing-masing yang semakin meningkat, mungkin beberapa langkah boleh dikeluarkan daripada senarai (tentunya bukan langkah yang melibatkan pembacaan dan penulisan...). Sebelum menjadi mahir, semestinya latihan demi latihan perlu dilakukan. Bak kata orang tua-tua, berakit-rakit dahulu, berenang-renang ketepian, bersakit-sakit dahulu, bersenang-senang kemudian. Ayuh kita mulakan...!!!


Perakuan: Karya ini adalah hasil terjemahan pengalaman dan pembacaan buku-buku berkaitan penulisan saintifik ke dalam bentuk bertulis pada tarikh posting blog ini dipaparkan oleh pemilik blog Kelalang Kon: The Next Level. Perkongsian sebahagian atau sepenuhnya posting ini mesti melalui kebenaran penulis. Sebarang komen dan cadangan amat dialu-alukan.

No comments:

Post a Comment