Search This Blog

Wednesday 7 March 2012

Perisian Melukis Struktur Molekul


Melukis struktur molekul dan memahirkannya merupakan elemen penting dalam proses pembelajaran terutamanya dalam subjek kimia. Latihan melukis struktur molekul juga akan banyak membantu pelajar memahirkan konsep-konsep asas pembinaan suatu molekul termasuk oktet, stereokimia, orbital molekul, jenis ikatan dan sebagainya. Tidak dinafikan melukis struktur kimia di atas sekeping kertas adalah asas (boleh saya katakan keutamaan), tetapi bagi pelajar alaf baru dan juga perkembangan dunia perkomputeran yang sangat pesat, tidak salah bagi bakal-bakal ahli kimia, jika dalam masa yang sama memahirkan diri dengan mencuba dan menggunakan perisian-perisian untuk melukis berbagai struktur molekul. 
Disini akan dikongsikan senarai beberapa perisian yang terdapat dalam pasaran sama ada berbayar mahupun percuma. Anda boleh memuat turun dan mencubanya. Hanya dua yang pertama akan diperkenalkan (secara ringkas) kerana kedua-duanya paling biasa digunakan oleh penyelidik dan pengajar. Senarai seterusnya mungkin boleh membantu pelajar untuk berjinak-jinak dengan perisian seumpamanya, malah perisian-perisian tersebut boleh didapati percuma daripada web masing-masing.

1. ChemDraw (ChemBioOffice): Perisian ini (pada pandangan saya) adalah paling popular dikalangan pengajar dan penyelidik kerana sangat berkuasa. Ia bukan sekadar memberikan kanvas dan icon untuk melukis, malah disediakan pengkalan data yang sangat membantu seperti jisim molekul, jangkaan sifat fizikal, jangkaan spektra, dan sebagainya. Paparan struktur molekul yang dilukis boleh diubah seperti warna atom, ketebalan ikatan, dan sebagainya mengikut kehendak. Perisian ini juga lengkap dengan templet pelbagai jurnal utama dan sememangnya memudahkan terutama bagi struktur molekul yang besar. Bagaimanapun, harga perisian ini mahal tetapi perpadanan dengan kapasiti dan kebolehan perisian ini. Anda boleh layari web (ChemDraw) berkaitan untuk mendapatkan maklumat lanjut.

2. ChemDoodle: Perisian ini mirip kepada yang di atas. Terdapat beberapa persamaan dalam paparan ikon. Tetapi, hotkey yang agak kaku dan menjadikan proses melukis struktur molekul menjadi sedikit berlainan. Dalam kebolehan pengkalan data, ia juga boleh diharap. Satu kaedah pengkalan data yang saya suka ialah perisian ini bersekali dengan pengkalan data peribadi maya. Selagi ada talian internet, anda boleh lukis, ubah dan simpan struktur molekul anda serta synchronize secara automatik di antara paparan komputer anda dengan iPad/iPod. Malah apps dibekalkan percuma dengan setiap pembelian lesen perisian ini. Dua perkara yang boleh dikongsi secara ringkas ialah perisian ini jauh lebih murah dari yang pertama dan sedikit masalah compatibility mungkin timbul jika fail dibuka dengan perisian lain seperti di atas. Sila layari web (ChemDoodle) untuk maklumat lanjut.

3. ChemSketch: Ia menggunakan platform Windows dan Linux. Terdapat sokongan perisian seperti jangkaan NMR tetapi bertindak berasingan. Anda boleh mencubanya secara percuma di web berkenaan (ACD/Labs).

4. Symyx Draw: Ia menggunakan platform XP/Vista. Dari review yang diperolehi, perisian ini mungkin boleh diharap untuk tugasan asas melukis struktur molekul tanpa memerlukan aplikasi yang lebih tinggi. Sila ke web ini (Symyx Draw) untuk muat turun perisian.

5. WinDrawChem: Ia merupakan perisian ringkas dan berfungsi di atas kebanyakan platform Windows, Linux dan UNIX. Ia percuma dan boleh dimuat turun di web ini (WinChemDraw).

Sebenarnya banyak lagi perisian seumpama yang boleh didapat sama ada berbayar mahupun secara percuma dan opensource. Anda boleh mencuba dan menggunakannya untuk membantu proses pembelajaran anda. Selamat melukis struktur molekul kimia secara elektronik...!



No comments:

Post a Comment